Selangor temui kaedah cegah air beracun

nor_zamri_luas_301016_12
Pengarah Luas Nor Zamri Sondordi Sungai Buah, Dengkil, di mana pencemaran air berlaku.

Selangor berjaya menemui kaedah rawatan air sungai yang tercemar dan dipercayai berpunca dari kawasan perindustrian di Negeri Sembilan.

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong, kaedah yang digunakan ialah dengan menaburkan karbon aktif (activated karbon) bagi merawat pencemaran air sungai di Selangor.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan berkata, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sudah menaburkan 20,000kg bahan itu ke dalam sungai Selangor dan Negeri Sembilan yang tercemar dan ianya membuahkan hasil.

“Sejak dari Khamis lalu, kita cadang untuk bina bund (benteng). (Setakat) ini ada 3 bund di Sungai Buah dan pasukan Luas buat ujikaji sendiri untuk mencari bahan rawat bau air sungai yang tercemar.

“Kita buat eksperimen meletakkan bahan (karbon aktif) dalam bund (benteng) dan kita dapat keputusan memang menggalakkan sehingga dapat kejayaan,” katanya pada sidang media di Sungai Buah, Dengkil di Selangor, petang ini.

Wong berkata, meskipun berdepan dengan situasi bund (benteng) pecah seperti yang berlaku semalam, namun ianya dapat ditangani dan sudah pun dibina semula.

Bagaimanapun beliau berkata, kaedah tersebut hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, sekiranya punca sebenar pencemaran air tidak ditangani di sungai di Nilai, Negeri Sembilan, maka insiden tersebut akan berulang kembali.

 

Leave a comment